Wednesday, November 15, 2017

Jogja aku datang part 2...

Hari kedua

Perjalanan diteruskan membelah gelap di tengah malam yang hanya diterangi lampu suluh di kepala dan diselangi dengan ‘take 5’, adakalanya juga aku tertidur dengan sendiri sewaktu sambil berjalan. Semangat meneruskan pendakian adakalnya luntur selunturnya kerana badan terasa penat. Kira-kira jam 5.30 pagi keesokan harinya, kami sampai di Post II, syukur tidak terhingga. Oleh sebab badan sudah keletihan, kami mengambil keputusan untuk mendirikan khemah di sini sahaja bagi merehatkan badan. Sekitar jam 9.00am kami terjaga dari tidur kerana kepanasan di dalam khemah dek sinaran matahari betul-betul menyinari di depan kami. Badan terasa lebih segar kerana sudah mendapat sedikit rehat. Bayangkan kami tidak tidur semalaman, malah tidak cukup tidur pada malam sebelum berangkat ke Jogja. Tanpa rehat yang sewajarnya, kami jadi 'zombi' di hutan negara jiran. Setelah bersiap semuanya, kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke puncak. Semasa kami mengemas barang-barang yang akan ditinggalkan di dalam khemah, tiba-tiba datang seekor beruk liar yang agak besar mengganggu kawasan perkhemahan kami. Anggaran saiznya sebesar Maahir, anakku. Kami semua berasa cemas kerana hanya kami di situ dan paling merisaukan kami sekiranya beruk tersebut menyerang kami, merosakkan khemah serta barang-barang di dalamnya. Tanpa diduga tangan beruk begitu pantas mencapai beg Motek, dan dituang semua barang di dalamnya. Tidak cukup dengan itu, plastik yang digunakan untuk menyimpan barang-barang bagi mengelak basah dari hujan atau air tertumpah telah dikoyak dengan rakusnya oleh beruk tersebut. Acu selaku suamiku mengarahkan aku untuk duduk diam di dalam khemah bersama anak dan mereka bertiga bertindak mengusir beruk tersebut. lagi diusir, lagi agresif. Tindakan spontan Zamir yang naik berang dengan mengacah beruk tersebut dengan monopotnya sehingga patah, akhirnya membuatkan beruk tersebut akur dan berlari ke hutan berhampiran. Kami bertawakal pada Allah supaya barang yang ditinggalkan tidak diusik oleh beruk-beruk liar di kawasan berhampiran.

Perjalanan menawan puncak Gunung Merapi diteruskan dan akhirnya kami berjaya menawannya kira-kira jam 12.00pm. Syukur kepada Allah, impian kami terlaksana tanpa sebarang kecederaan. Kami sempat berhenti ‘take 5’ di check point Pasar Bubrah semasa perjalanan ke puncak dan sekali lagi kami berjumpa dengan kumpulan pendaki yang mula-mula mendaki bersama kami. Rupanya mereka telah siap sedia untuk turun keluar dari gunung. Ketika kami mengambil keputusan untuk tidur di Post II, mereka melanjutkan perjalanan dan tidur di Pasar Bubrah.  Kami tidak lama dipuncak kerana kesejukan dan kabus juga agak tebal. Di sebelah kiri puncak adalah gaung berupa kawah gunung berapi yang masih aktif. Sesekali dihembuskan gas dari dasarnya. Kami lebih pantas menuruni ke Post II bagi melihat keadaan barang-barang yang kami tinggalkan dengan perjalanan menurun kira-kira 2-3 jam. Setelah sampai di Post II, kami dapati semua barang berkeadaan normal. Lalu, dengan pantas kami mengemas barang untuk turun dan keluar dari Taman Nasional Gunung Merapi. Kali ini, saya mengambil keputusan untuk memikul beg 65liter, manakala suami mengendong anak di belakang. Aku memikirkan risiko lebih tinggi akan tergelongsor sewaktu turun, dikhuatiri akan berlaku perkara tidak diingini yang boleh mencederakan anak kecil. Seperti sedia maklum, suamiku adalah seorang yang lebih berhati-hati dan teliti berbanding aku yang cincai. Kira-kira jam 6.00pm, kami semua selamat tiba di basecamp New Selo semula dengan selamat. Pada perancangan awal, Gerry akan ikut serta pendakian tapi setelah kami mendaki, baru lah kami syak yang Gerry cari alasan untuk tidak bersama kami. Hahahaha... azab oiii... Gerry pulang ke bandar kerana ada tetamu yang perlu diraikannya katanya semasa melepaskan kami untuk mendaki gunung merapi.

Kami berjalan kaki keluar dari kawasan New Selo menuju ke perkampungan di kaki Gunung Merapi dengan tujuan memudahkan supir mengambil kami nanti. Jadi dia tidak perlu lagi membawa kereta toyota avanza nya yang sudah disama tarafkan dengan fungsi kereta pacuan 4 roda bagi menempuh kecuraman yang tinggi menuju Basecamp New Selo. Teringatkan peristiwa kereta kami naiki mundur ke belakang di sebabkan terpaksa berhenti mengejut di kecuraman hampir 90 darjah kerana terdapat kereta di depan yang enjin mati secara tiba-tiba. Kelihatan Gerry dan supir datang menjemput kami dan terus di bawa ke Basecamp Gancik bagi meneruskan acara gunung kedua kami iaitu Gunung Merbabu.

Gunung Merbabu letaknya berdepan atau bersebelahan dengan Gunung merapi, cuma dipisahkan dengan beberapa kampung di sekitar lembah kaki gunung kedua-dua gunung tersebut. Setelah selesai Gerry berurusan di kaunter Basecamp Gunung Merbabu dan berjaya mendapatkan permit pendakian dengan harga tempatan iaitu 10x lebih murah berbanding harga bukan warganegara, kami pun berhenti rehat di rumah ketua kampung di situ iaitu rumah yang paling terhampir bagi mendaki Gunung Merbabu melalui Jalur Gancik. Sesuatu yang unik pada hemat saya kerana konsep di Indonesia adalah sekiranya anda telah membayar duit permit pendakian, anda layak untuk tidur percuma di rumah-rumah yang disediakan khas untuk pendaki berehat sebelum atau sesudah pendakian oleh tuan rumah sendiri dengan ikhlas. Mereka cuma mendapat sedikit bayaran dari penjaga permit. Harga permit bagi warga tempatan cuma sekitar 10000rupiah seorang atau bersamaan lebih kurang RM3.50. Terlalu murah pada saya kerana anda boleh mandi dan tidur di situ tanpa sebarang bayaran lebih malah tetamu juga dihidangkan dengan kuih-muih tradisional berserta air panas. Cuma pesanan Gerry, bagi menghormati tuan rumah, beli lah makanan untuk kita makan di situ dari mereka. 

No comments:

Post a Comment

Land Roadtrip to Indochina part 1

Assalamualaikum... Hari ni baru nak update pasal story landroad by kelisa ke Golden Triangle. Actually kitorg dah pun beli tiket flight Ha...