Hari pertama
Tanggal 27 April 2017, bermulalah
percutian keluarga kecil kami turut serta 2 orang lagi sahabat kami iaitu Mohd
Firdaus lebih sinonim dengan panggilan Motek dan juga Zamir ke Yogjakarta,
Indonesia seperti yang telah dirancangkan beberapa bulan yang lalu. Percutian
kali ini boleh dikatakan lebih extrim dan memerlukan mental dan fizikal yang kuat
kerana kami akan mendaki beberapa gunung di sekitar provinsi ini. Salah seorang
sahabat kami iaitu Zamir telah sedia menanti kami di lapangan terbang
antarabangsa Adisutjipto,
Yogjakarta. Beliau ke sana awal seminggu dari kami. Sesampainya kami di
lapangan terbang, kami disambut oleh kenalan baru aku bernama Gerry
Utama atau lebih mesra dengan panggilan Gerry berasal dari Pulau Sumatra dan bermastautin
di Yogjakarta. Aku mengenali beliau melalui program ‘couchsurfing’. Gerry banyak
membantu kami dari segi pelbagai perkhidmatan termasuk lah sebagai pemandu
pelancong serta malim gunung tidak berbayar kami. Cuma bagi khidmat supir
berserta kenderaan yang memerlukan modal dengan kiraan lumsum 2juta rupiah
selama seminggu berbanding trip-trip kami sebelum ini banyak juga perkiraan
yang perlu dipersiapkan. Itu lah yang dikatakan rezeki. Ini tidak termasuk petrol. Gerry cuma meminta kami untuk menanggung kos makannya dan supir iaitu Abg Zul selama kami di sana. Suatu permintaan yang tidak
berat pada kami. Manakan tidak, hanya belanja makan dan minum dapat menjimatkan banyak kos. Rezeki yang ada dikongsi bersama. Sebelum aku membuat keputusan untuk mencari rakan dari couchsurfing, aku telah bertanya dengan beberapa guide di sana yang sanggup ikut jadual yang aku rancang. Ternyata semuanya menyatakan jadual aku benar-benar gila! naik turun naik gunung tanpa henti selama seminggu!
Setelah memperkenalkan diri dan berkenalan dengan teman
baru iaitu saudara Gerry Utama, kami pun memulakan perjalanan seperti di dalam
jadual yang telah aku rancang terlebih dulu. Memandangkan kami belum makan
sedari pagi maka destinasi pertama kami bagi mengisi perut yang kosong di kedai makan, lokasinya bersebelahan dengan Universiti Yogjakarta. Menu utama di
sini adalah pecal yang sangat sedap. Kali pertama aku ke sini pada tahun 2012,
maka boleh dilihat perubahan dari sebuah kedai makan yang biasa-biasa menjadi kedai yang lebih kemas
dan teratur. Harganya juga sudah berbeza agak ketara. lebih mahal. Tak apa lah asalkan sedap. Selepas selesai makan kami terus bergerak ke New Selo iaitu
basecamp pendakian Gunung Merapi. Sementara di dalam perjalanan, kami singgah
di beberapa toko berkaitan untuk membeli perlengkapan seperti gas memasak,
beras serta beberapa bahan kering dan basah bagi kegunaan sepanjang kami di
gunung nanti. Kami mengambil langkah yang sangat berjimat cermat untuk trip
kali ini. Dapur, periuk, pinggan, mangkuk, sudu dan beberapa perencah masakan
telah siap dibawa dari Malaysia. Berasnya sangat berbeza rasanya. Boleh diistilahkan beras untuk orang sakit. Patut lah warga Indonesia slim belaka. Kandungan kanji yang berkurang. Diet yang bagus kan? 😍
Tepat jam 11.00pm waktu tempatan, kami berlima termasuk
anak kecil aku yang berusia 2 tahun 3 bulan memulakan
pendakian Gunung Merapi. Saya mengendong si kecil di belakang menggunakan ‘soft
sructure carrier’ boba 4g. Manakala suami pula memikul beg 65liter berisi kelengkapan
yang akan digunakan nanti. Boleh dikatakan kerja gila juga mendaki lewat malam
dengan tidak cukup rehat untuk meredah kesejukan malam di kawasan gunung. Kami
fikir cuma kami sekumpulan yang memulakan pendakian pada malam tersebut.
Sangkaan kami meleset sama sekali kerana banyak lagi rombongan warga tempatan
yang turut sama memeriahkan aktiviti pendakian pada malam itu. Setelah penat
mendaki, kami berehat sebentar di check point pertama di mana terdapat sebuah
pondok dan tertera tulisan Taman Nasional Gunung Merapi pada papan tanda. Menu
paling sedap dan cepat pada ketika itu adalah mee segera. Dapur dinyalakan
untuk memasak air panas untuk memanaskan badan dan mee segera buat alas perut.
Kumpulan pendaki dari pusat pensantrian atau lebih sinonim dengan istilah
sekolah pondok berdekatan juga berhenti rehat di pondok yang sama. Kami
bersembang dan memperkenalkan diri dan diselangi dengan bercerita tentang
tujuan masing-masing. Guru mereka memberi kami nasi berserta lauk yang
dibawanya dari rumah. Perasaan seperti mahu melompat ke bintang waktu itu
menerima pemberian ikhlas darinya. Tambah pula perut yang pandai berkeroncong
ketika sejuk melanda. Maahir ketika itu hanya tidur digendongan. Rata-rata pengunjung gunung warga tempatan sungguh berbudi bahasa.

No comments:
Post a Comment