Hari kedua
Perjalanan diteruskan membelah gelap di tengah malam yang hanya
diterangi lampu suluh di kepala dan diselangi dengan ‘take 5’, adakalanya juga aku tertidur dengan sendiri sewaktu sambil berjalan. Semangat meneruskan pendakian adakalnya luntur selunturnya kerana badan terasa penat. Kira-kira jam 5.30 pagi keesokan
harinya, kami sampai di Post II, syukur tidak terhingga. Oleh sebab badan sudah
keletihan, kami mengambil keputusan untuk mendirikan khemah di sini sahaja bagi
merehatkan badan. Sekitar jam 9.00am kami terjaga dari tidur kerana kepanasan
di dalam khemah dek sinaran matahari betul-betul menyinari di depan kami. Badan
terasa lebih segar kerana sudah mendapat sedikit rehat. Bayangkan kami tidak tidur semalaman, malah tidak cukup tidur pada malam sebelum berangkat ke Jogja. Tanpa rehat yang sewajarnya, kami jadi 'zombi' di hutan negara jiran. Setelah bersiap
semuanya, kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke puncak. Semasa
kami mengemas barang-barang yang akan ditinggalkan di dalam khemah, tiba-tiba
datang seekor beruk liar yang agak besar mengganggu kawasan perkhemahan kami.
Anggaran saiznya sebesar Maahir, anakku. Kami semua berasa cemas kerana hanya kami di
situ dan paling merisaukan kami sekiranya beruk tersebut menyerang kami, merosakkan
khemah serta barang-barang di dalamnya. Tanpa diduga tangan beruk begitu pantas
mencapai beg Motek, dan dituang semua barang di dalamnya. Tidak cukup dengan
itu, plastik yang digunakan untuk menyimpan barang-barang bagi mengelak basah
dari hujan atau air tertumpah telah dikoyak dengan rakusnya oleh beruk
tersebut. Acu selaku suamiku mengarahkan aku untuk duduk diam di dalam khemah bersama anak
dan mereka bertiga bertindak mengusir beruk tersebut. lagi diusir, lagi agresif. Tindakan spontan Zamir yang naik berang dengan mengacah beruk tersebut dengan monopotnya sehingga patah, akhirnya membuatkan beruk
tersebut akur dan berlari ke hutan berhampiran. Kami bertawakal pada Allah
supaya barang yang ditinggalkan tidak diusik oleh beruk-beruk liar di kawasan
berhampiran.
Perjalanan menawan puncak Gunung Merapi diteruskan dan
akhirnya kami berjaya menawannya kira-kira jam 12.00pm. Syukur kepada Allah, impian kami terlaksana tanpa sebarang kecederaan. Kami sempat berhenti
‘take 5’ di check point Pasar Bubrah semasa perjalanan ke puncak dan sekali lagi kami berjumpa dengan kumpulan pendaki yang mula-mula mendaki bersama kami. Rupanya mereka telah siap sedia untuk turun keluar dari gunung. Ketika kami mengambil keputusan untuk tidur di Post II, mereka melanjutkan perjalanan dan tidur di Pasar Bubrah. Kami tidak lama
dipuncak kerana kesejukan dan kabus juga agak tebal. Di sebelah kiri puncak
adalah gaung berupa kawah gunung berapi yang masih aktif. Sesekali dihembuskan
gas dari dasarnya. Kami lebih pantas menuruni ke Post II bagi melihat keadaan
barang-barang yang kami tinggalkan dengan perjalanan menurun kira-kira 2-3 jam.
Setelah sampai di Post II, kami dapati semua barang berkeadaan normal. Lalu,
dengan pantas kami mengemas barang untuk turun dan keluar dari Taman Nasional
Gunung Merapi. Kali ini, saya mengambil keputusan untuk memikul beg 65liter,
manakala suami mengendong anak di belakang. Aku memikirkan risiko lebih tinggi
akan tergelongsor sewaktu turun, dikhuatiri akan berlaku perkara tidak diingini
yang boleh mencederakan anak kecil. Seperti sedia maklum, suamiku adalah
seorang yang lebih berhati-hati dan teliti berbanding aku yang cincai. Kira-kira jam 6.00pm,
kami semua selamat tiba di basecamp New Selo semula dengan selamat. Pada perancangan awal, Gerry akan ikut serta pendakian tapi setelah kami mendaki, baru lah kami syak yang Gerry cari alasan untuk tidak bersama kami. Hahahaha... azab oiii... Gerry pulang ke bandar kerana ada tetamu yang perlu diraikannya katanya semasa melepaskan kami untuk mendaki gunung merapi.
Kami berjalan kaki keluar dari kawasan New Selo menuju
ke perkampungan di kaki Gunung Merapi dengan tujuan memudahkan supir mengambil
kami nanti. Jadi dia tidak perlu lagi membawa kereta toyota avanza nya yang
sudah disama tarafkan dengan fungsi kereta pacuan 4 roda bagi menempuh
kecuraman yang tinggi menuju Basecamp New Selo. Teringatkan peristiwa kereta kami
naiki mundur ke belakang di sebabkan terpaksa berhenti mengejut di kecuraman
hampir 90 darjah kerana terdapat kereta di depan yang enjin mati secara
tiba-tiba. Kelihatan Gerry dan supir datang menjemput kami dan terus di bawa ke
Basecamp Gancik bagi meneruskan acara gunung kedua kami iaitu Gunung Merbabu.
Gunung Merbabu letaknya berdepan atau bersebelahan
dengan Gunung merapi, cuma dipisahkan dengan beberapa kampung di sekitar lembah
kaki gunung kedua-dua gunung tersebut. Setelah selesai Gerry berurusan di kaunter
Basecamp Gunung Merbabu dan berjaya mendapatkan permit pendakian dengan harga tempatan
iaitu 10x lebih murah berbanding harga bukan warganegara, kami pun berhenti
rehat di rumah ketua kampung di situ iaitu rumah yang paling terhampir bagi
mendaki Gunung Merbabu melalui Jalur Gancik. Sesuatu yang unik pada hemat saya
kerana konsep di Indonesia adalah sekiranya anda telah membayar duit permit
pendakian, anda layak untuk tidur percuma di rumah-rumah yang disediakan khas
untuk pendaki berehat sebelum atau sesudah pendakian oleh tuan rumah sendiri
dengan ikhlas. Mereka cuma mendapat sedikit bayaran dari penjaga permit. Harga
permit bagi warga tempatan cuma sekitar 10000rupiah seorang atau bersamaan
lebih kurang RM3.50. Terlalu murah pada saya kerana anda boleh mandi dan tidur
di situ tanpa sebarang bayaran lebih malah tetamu juga dihidangkan dengan
kuih-muih tradisional berserta air panas. Cuma pesanan Gerry, bagi menghormati
tuan rumah, beli lah makanan untuk kita makan di situ dari mereka.
