Tuesday, June 18, 2019

Land Roadtrip to Indochina part 1

Assalamualaikum... Hari ni baru nak update pasal story landroad by kelisa ke Golden Triangle. Actually kitorg dah pun beli tiket flight Hatyai-Chiang Mai & Bangkok-Hatyai tapi last minit tukar plan. So, berkelana dengan cik lisa kami ber4. Aku, suami,anak(3tahun) dan abg kandung aku.

Seawal jam 4pagi kami dr umah mak abah di Kedah menuju ke border Thai melalui jalan Bukit Kayu Hitam. Gila! menyesal tak sudah sebab jem kow!. Jam 12.30thari baru lepas border. Punya la ramai umat manusia. Pertama kali dlm sejarah aku sangkut lama gila.

Ni pit stop pertama kami untuk waqafkan Quran di setiap masjid yang kami berhenti. Waqaf Quran ni idea dari abg aku sebenarnya. Dia mencadangkan utk cuba manfaatkan perjalanan kami kali ni dgn waqaf apa2 dari sendiri ataupun sumbangan dari org lain. Sangat bermakna sebenarnya.Sesuatu yang tidak terfikir pada diriku selama berkelana. TQ abg An.

Masjid sempadan Malaysia-Thailand di Ban Dannok. Meriah sini dgn budak-budak datang mengaji dan juga kumpulan Tabligh yg mengimarahkan masjid

Selepas itu, kami terus bergerak ke Hatyai dan terus ke rumah 2pupu kami di Ban Khuan, berdekatan dengan laut dekat dengan Songkhla. Entrance ke rumah mereka boleh nampak landmarknya Floating market yg sgt terkenal dgn daya tarikan pelancong luar terutamanya dari Malaysia yg dtg utk mencuba pelbagai jenis makanan yg dijual dari dlm perahu. Apa yg lawak bagi kami selama berulang alik menziarah saudara di Hatyai mungkin baru sekali kami ke tempat tersebut. Selalunya kalo "balik kampung" kami hanya memilih untuk makan di rumah saudara sahaja. Sudah cukup untuk menambah kg(berat) di atas penimbang. Seharian tidak makan dan ini lah menu santapan pertama kami hari ni(8 Sept 2018). Kengsom ikan+nasi. Perghhhh nikmat nya ya rabbi... Selesai nasi tu weh. Ada balance sikit kengsom dan anak saudara aku bungkuskan untuk kitorg makan malam. TQ Nazir.

Senario yg dapat dirakamkan sewaktu perjalanan menuju ke tempat bermalam pertama kami sekitar Chumpon. Sebuah pick up ditambah dengan berselirat absober utk membolehkan kenderaan tersebut membawa muatan setinggi gunung. Kreatif dan ditambah pula ini bukan menjadi kesalahan di sana.

Pemandangan matahari terbenam sepanjang perjalanan. Subhanallah sgt cantik tapi hp cap ayamku hanya mampu memberi gambar sebegini sahaja. Cukup utk tersimpan di memori kepala.

Ada yg nak kecam? huhuhu. Setelah maps membawa kami ke "masjid" di tengah pekan Chumpon yg ada hanyalah pub-pub dan rumah masat....Akhirnya maps membawa kami ke masjid yg betul terletak di dalam tengah-tengah kebun kelapa sawit. Perjalanan tanah merah hampir 40 minit pada jam 1pagi. Alhamdulillah ia benar2 masjid utk kami jamak takhir magrib dan isyak dan kemudiannya berehat tidur di situ berlantaikan kayu . SEJUK!

Pemandangan masjid dari luar. Pintu tidak berkunci dan mesra jemaah. Perkhidmatan air mineral juga ada.

Minyak telah pun diisi buat pertama kali di Thailand dgn isian full tank minyak shell berharga Rm4.40/liter di Pekan Wang Sia. yes! dapat 1 new vocab... Them(sebut tem) tang=full tank. Gadis yg menjaga pam tersebut fasih berbahasa Inggeris. Kami syak dia ank tokey minyak. Jarang jumpa orang Thai fasih berbahasa Inggeris dan sebutan yang nice.

Selamat malam~ra tri sawas... Bersambung

Wednesday, November 15, 2017

Jogja aku datang part 2...

Hari kedua

Perjalanan diteruskan membelah gelap di tengah malam yang hanya diterangi lampu suluh di kepala dan diselangi dengan ‘take 5’, adakalanya juga aku tertidur dengan sendiri sewaktu sambil berjalan. Semangat meneruskan pendakian adakalnya luntur selunturnya kerana badan terasa penat. Kira-kira jam 5.30 pagi keesokan harinya, kami sampai di Post II, syukur tidak terhingga. Oleh sebab badan sudah keletihan, kami mengambil keputusan untuk mendirikan khemah di sini sahaja bagi merehatkan badan. Sekitar jam 9.00am kami terjaga dari tidur kerana kepanasan di dalam khemah dek sinaran matahari betul-betul menyinari di depan kami. Badan terasa lebih segar kerana sudah mendapat sedikit rehat. Bayangkan kami tidak tidur semalaman, malah tidak cukup tidur pada malam sebelum berangkat ke Jogja. Tanpa rehat yang sewajarnya, kami jadi 'zombi' di hutan negara jiran. Setelah bersiap semuanya, kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke puncak. Semasa kami mengemas barang-barang yang akan ditinggalkan di dalam khemah, tiba-tiba datang seekor beruk liar yang agak besar mengganggu kawasan perkhemahan kami. Anggaran saiznya sebesar Maahir, anakku. Kami semua berasa cemas kerana hanya kami di situ dan paling merisaukan kami sekiranya beruk tersebut menyerang kami, merosakkan khemah serta barang-barang di dalamnya. Tanpa diduga tangan beruk begitu pantas mencapai beg Motek, dan dituang semua barang di dalamnya. Tidak cukup dengan itu, plastik yang digunakan untuk menyimpan barang-barang bagi mengelak basah dari hujan atau air tertumpah telah dikoyak dengan rakusnya oleh beruk tersebut. Acu selaku suamiku mengarahkan aku untuk duduk diam di dalam khemah bersama anak dan mereka bertiga bertindak mengusir beruk tersebut. lagi diusir, lagi agresif. Tindakan spontan Zamir yang naik berang dengan mengacah beruk tersebut dengan monopotnya sehingga patah, akhirnya membuatkan beruk tersebut akur dan berlari ke hutan berhampiran. Kami bertawakal pada Allah supaya barang yang ditinggalkan tidak diusik oleh beruk-beruk liar di kawasan berhampiran.

Perjalanan menawan puncak Gunung Merapi diteruskan dan akhirnya kami berjaya menawannya kira-kira jam 12.00pm. Syukur kepada Allah, impian kami terlaksana tanpa sebarang kecederaan. Kami sempat berhenti ‘take 5’ di check point Pasar Bubrah semasa perjalanan ke puncak dan sekali lagi kami berjumpa dengan kumpulan pendaki yang mula-mula mendaki bersama kami. Rupanya mereka telah siap sedia untuk turun keluar dari gunung. Ketika kami mengambil keputusan untuk tidur di Post II, mereka melanjutkan perjalanan dan tidur di Pasar Bubrah.  Kami tidak lama dipuncak kerana kesejukan dan kabus juga agak tebal. Di sebelah kiri puncak adalah gaung berupa kawah gunung berapi yang masih aktif. Sesekali dihembuskan gas dari dasarnya. Kami lebih pantas menuruni ke Post II bagi melihat keadaan barang-barang yang kami tinggalkan dengan perjalanan menurun kira-kira 2-3 jam. Setelah sampai di Post II, kami dapati semua barang berkeadaan normal. Lalu, dengan pantas kami mengemas barang untuk turun dan keluar dari Taman Nasional Gunung Merapi. Kali ini, saya mengambil keputusan untuk memikul beg 65liter, manakala suami mengendong anak di belakang. Aku memikirkan risiko lebih tinggi akan tergelongsor sewaktu turun, dikhuatiri akan berlaku perkara tidak diingini yang boleh mencederakan anak kecil. Seperti sedia maklum, suamiku adalah seorang yang lebih berhati-hati dan teliti berbanding aku yang cincai. Kira-kira jam 6.00pm, kami semua selamat tiba di basecamp New Selo semula dengan selamat. Pada perancangan awal, Gerry akan ikut serta pendakian tapi setelah kami mendaki, baru lah kami syak yang Gerry cari alasan untuk tidak bersama kami. Hahahaha... azab oiii... Gerry pulang ke bandar kerana ada tetamu yang perlu diraikannya katanya semasa melepaskan kami untuk mendaki gunung merapi.

Kami berjalan kaki keluar dari kawasan New Selo menuju ke perkampungan di kaki Gunung Merapi dengan tujuan memudahkan supir mengambil kami nanti. Jadi dia tidak perlu lagi membawa kereta toyota avanza nya yang sudah disama tarafkan dengan fungsi kereta pacuan 4 roda bagi menempuh kecuraman yang tinggi menuju Basecamp New Selo. Teringatkan peristiwa kereta kami naiki mundur ke belakang di sebabkan terpaksa berhenti mengejut di kecuraman hampir 90 darjah kerana terdapat kereta di depan yang enjin mati secara tiba-tiba. Kelihatan Gerry dan supir datang menjemput kami dan terus di bawa ke Basecamp Gancik bagi meneruskan acara gunung kedua kami iaitu Gunung Merbabu.

Gunung Merbabu letaknya berdepan atau bersebelahan dengan Gunung merapi, cuma dipisahkan dengan beberapa kampung di sekitar lembah kaki gunung kedua-dua gunung tersebut. Setelah selesai Gerry berurusan di kaunter Basecamp Gunung Merbabu dan berjaya mendapatkan permit pendakian dengan harga tempatan iaitu 10x lebih murah berbanding harga bukan warganegara, kami pun berhenti rehat di rumah ketua kampung di situ iaitu rumah yang paling terhampir bagi mendaki Gunung Merbabu melalui Jalur Gancik. Sesuatu yang unik pada hemat saya kerana konsep di Indonesia adalah sekiranya anda telah membayar duit permit pendakian, anda layak untuk tidur percuma di rumah-rumah yang disediakan khas untuk pendaki berehat sebelum atau sesudah pendakian oleh tuan rumah sendiri dengan ikhlas. Mereka cuma mendapat sedikit bayaran dari penjaga permit. Harga permit bagi warga tempatan cuma sekitar 10000rupiah seorang atau bersamaan lebih kurang RM3.50. Terlalu murah pada saya kerana anda boleh mandi dan tidur di situ tanpa sebarang bayaran lebih malah tetamu juga dihidangkan dengan kuih-muih tradisional berserta air panas. Cuma pesanan Gerry, bagi menghormati tuan rumah, beli lah makanan untuk kita makan di situ dari mereka. 

Jogja aku datang part 1...

Hari pertama

Tanggal 27 April 2017, bermulalah percutian keluarga kecil kami turut serta 2 orang lagi sahabat kami iaitu Mohd Firdaus lebih sinonim dengan panggilan Motek dan juga Zamir ke Yogjakarta, Indonesia seperti yang telah dirancangkan beberapa bulan yang lalu. Percutian kali ini boleh dikatakan lebih extrim dan memerlukan mental dan fizikal yang kuat kerana kami akan mendaki beberapa gunung di sekitar provinsi ini. Salah seorang sahabat kami iaitu Zamir telah sedia menanti kami di lapangan terbang antarabangsa Adisutjipto, Yogjakarta. Beliau ke sana awal seminggu dari kami. Sesampainya kami di lapangan terbang, kami disambut oleh kenalan baru aku bernama Gerry Utama atau lebih mesra dengan panggilan Gerry berasal dari Pulau Sumatra dan bermastautin di Yogjakarta. Aku mengenali beliau melalui program ‘couchsurfing’. Gerry banyak membantu kami dari segi pelbagai perkhidmatan termasuk lah sebagai pemandu pelancong serta malim gunung tidak berbayar kami. Cuma bagi khidmat supir berserta kenderaan yang memerlukan modal dengan kiraan lumsum 2juta rupiah selama seminggu berbanding trip-trip kami sebelum ini banyak juga perkiraan yang perlu dipersiapkan. Itu lah yang dikatakan rezeki. Ini tidak termasuk petrol. Gerry cuma meminta kami untuk menanggung kos makannya dan supir iaitu Abg Zul selama kami di sana. Suatu permintaan yang tidak berat pada kami. Manakan tidak, hanya belanja makan dan minum dapat menjimatkan banyak kos. Rezeki yang ada dikongsi bersama. Sebelum aku membuat keputusan untuk mencari rakan dari couchsurfing, aku telah bertanya dengan beberapa guide di sana yang sanggup ikut jadual yang aku rancang. Ternyata semuanya menyatakan jadual aku benar-benar gila! naik turun naik gunung tanpa henti selama seminggu!

Setelah memperkenalkan diri dan berkenalan dengan teman baru iaitu saudara Gerry Utama, kami pun memulakan perjalanan seperti di dalam jadual yang telah aku rancang terlebih dulu. Memandangkan kami belum makan sedari pagi maka destinasi pertama kami bagi mengisi perut yang kosong di kedai makan, lokasinya bersebelahan dengan Universiti Yogjakarta. Menu utama di sini adalah pecal yang sangat sedap. Kali pertama aku ke sini pada tahun 2012, maka boleh dilihat perubahan dari sebuah kedai makan yang biasa-biasa menjadi kedai yang lebih kemas dan teratur.  Harganya juga sudah berbeza agak ketara. lebih mahal. Tak apa lah asalkan sedap. Selepas selesai makan kami terus bergerak ke New Selo iaitu basecamp pendakian Gunung Merapi. Sementara di dalam perjalanan, kami singgah di beberapa toko berkaitan untuk membeli perlengkapan seperti gas memasak, beras serta beberapa bahan kering dan basah bagi kegunaan sepanjang kami di gunung nanti. Kami mengambil langkah yang sangat berjimat cermat untuk trip kali ini. Dapur, periuk, pinggan, mangkuk, sudu dan beberapa perencah masakan telah siap dibawa dari Malaysia. Berasnya sangat berbeza rasanya. Boleh diistilahkan beras untuk orang sakit. Patut lah warga Indonesia slim belaka. Kandungan kanji yang berkurang. Diet yang bagus kan? 😍


Tepat jam 11.00pm waktu tempatan, kami berlima termasuk anak kecil aku yang berusia 2 tahun 3 bulan   memulakan pendakian Gunung Merapi. Saya mengendong si kecil di belakang menggunakan ‘soft sructure carrier’ boba 4g. Manakala suami pula memikul beg 65liter berisi kelengkapan yang akan digunakan nanti. Boleh dikatakan kerja gila juga mendaki lewat malam dengan tidak cukup rehat untuk meredah kesejukan malam di kawasan gunung. Kami fikir cuma kami sekumpulan yang memulakan pendakian pada malam tersebut. Sangkaan kami meleset sama sekali kerana banyak lagi rombongan warga tempatan yang turut sama memeriahkan aktiviti pendakian pada malam itu. Setelah penat mendaki, kami berehat sebentar di check point pertama di mana terdapat sebuah pondok dan tertera tulisan Taman Nasional Gunung Merapi pada papan tanda. Menu paling sedap dan cepat pada ketika itu adalah mee segera. Dapur dinyalakan untuk memasak air panas untuk memanaskan badan dan mee segera buat alas perut. Kumpulan pendaki dari pusat pensantrian atau lebih sinonim dengan istilah sekolah pondok berdekatan juga berhenti rehat di pondok yang sama. Kami bersembang dan memperkenalkan diri dan diselangi dengan bercerita tentang tujuan masing-masing. Guru mereka memberi kami nasi berserta lauk yang dibawanya dari rumah. Perasaan seperti mahu melompat ke bintang waktu itu menerima pemberian ikhlas darinya. Tambah pula perut yang pandai berkeroncong ketika sejuk melanda. Maahir ketika itu hanya tidur digendongan. Rata-rata pengunjung gunung warga tempatan sungguh berbudi bahasa.

Thursday, September 28, 2017

Penyucian jiwa (1 Ramadhan di tanah suci)...part 7 ,August 2012

Tiada apa aktiviti selain iktikaf di masjid dan bersembahyang terawih pada malam hari nya di masjidil haram. Cuma ada 1 malam yg aku 'tuang' terawih, di mana aku dan adik aku serta sepasang suami isteri menjalankan misi menjelajah kawasan sekitar mekah. berJALAN KAKI! tapi suhu pada malam lebih sejuk dan nyaman. Sebelah siangnya kami langsung xde jalan-jalan takut "terpecah puasa." Aku dapat grab sehelai jubah dgn harga SR25(baju ni adalah baju rasmi sekolah rendah diorang) jadi la kan. Bukan orang Malaysia tau pun aku pakai baju sekolah.hehehe.

Setelah selesai sopink, kami pun bergerak pulang ke hotel. Otw berjalan kaki ada kereta arab berhenti dan offer kami naik...Setelah berbincang maka kami pun setuju menumpang. Tak banyak yg diperbualkan sbb mamat Arab ni xpandai English sgt, nak cakap arab lagi la haru kan...hihii...sampai dipersimpangan, dia berhenti kereta dan kami turun dan sambung berjalan mnuju jalan pulang.

Tuesday, September 12, 2017

Penyucian jiwa (1 Ramadhan di tanah suci)...part 6 August 11, 2012


Day 4

Selesai solah Subuh di masjid nabawi, kami pulang ke hotel utk bersiap dan mengemas barang utk berangkat ke Mekah bg tujuan mengerjakan umrah. Ini adalah umrah yg pertama wajib ke atas aku. Setiap umat islam mesti perlengkapkan diri dgn rukun islam yg 5. Perkara ke-5 adalah menunaikan Haji bagi yg berkemampuan. Dalam mengerjakan haji juga wajib di sekalikan dgn umrah. Memandangkan zaman sekarang sudah ramai yg berkemampuan utk menunaikan haji tetapi disebabkan mesti mengikut giliran dan kuota, maka ramai yg mengambil inisiatif utk mengerjakan umrah dahulu kerana tiada kuota yg ditetapkan.

Setelah bersedia semuanya, kami mengumpul beg di lobi hotel utk dinaikkan ke dalam bas yg akan menghantar kami ke Mekah. Sementara menunggu bas, kami semua ke masjid nabawi utk mengucapkan salam terakhir dan selamat tinggal kepada Rasulullah. Kumpulan kami diketuai oleh abah aku selaku mutawif. Sedang kami berdiri bertentang dgn makam Rasulullah di bahagian ruang legar luar masjid sambil mengamimkan doa yg dibackan oleh mutawif, datang polis lelaki madinah menghalau kami daripada melakukan sedemikian. Allah! ini lah yg dikatakan wahabi. Di Mekah dan Madinah boleh dikatakan keseluruhannya mengamalkan wahabi. Golongan ini sedikit demi sedikit menghapuskan sejarah2 Rasulullah dan tinggalan islam lama. Jika kalian solah subuh di sini jgn kehairanan jika doa qunut tidak dibaca, jgn terkejut jika selepas memberi salam tiada doa dipanjatkan. Ini lah di antara amalan2 yg mereka amalkan. Bertentang dgn kita sebagai pengamal mazhab Shafie. Apa boleh buat kan, bila di negara org terpaksa akur dgn arahan mereka. Walaupun hati berasa panas dan terkilan. alhamdulillah sempat juga berdoa dan beredar dari masjid nabawi.

Sekitar jam 11.00 pagi, kami semua bergerak meninggalkan madinah menuju ke Mekah. Sewaktu dalam perjalanan kami berhenti di Bir Ali yakni miqat utk niat ihram. Kami solah jamak dan qasar zohor dan asar d masjidnya. Setelah selesai semua urusan termasuk lah solah sunat ihram, kami semua niat berihram semasa bergerak keluar dar masjid sambil berjalan ke arah bas. Semasa berada di dalam ihram, mesti la patuh pada pantang larangnya, jika tidak pasti dikenakan denda mengikut larangan yg telah dilanggar. Sepanjang dalam perjalanan kami bertalbiyah;- laibakallah humma labaik, labaikala syari kala2 baik, innalhamda wania'qmata lakawalmulk............ Perjalanan kami lebih kurang 450km.

Kira2 jam 5 ptg kami sampai di hotel di Mekah. Kesabaran mula teruji di sini. Keletihan berpuasa dicampur dgn perjalanan yg agak jauh dicampur lagi dgn kegelojohan para jemaah yg tidak sabar2 mahu ke masjidilharam sendiri tanpa tahu arah nya di mana. Allahuakbar! engkau jualah yg memberi kesabaran kepada hambaMu. Mutawif menasihatkan agar jemaah berehat dulu dan kemudian kita ke masjidilharam bersama2 bagi menunaikan umrah pertama dan yg penting jgn lupa pantang larang anda semasa di dalam ihram. 

Haji Razak sahabat juga saudara abah aku yg telah lama bermastautin di Mekah menjadi org tgh abah aku bagi menguruskan urusan2 di Mekah berkenaan hotel, makan minum dan kenderaan. Boleh dikatakan sepanjang kami berada di Mekah, Hj. Razak sering berada bersama kami. Masakannya boleh buat kami pecah perut. Itu lah kan... Melayu tetap Melayu. Di negara org pun masih nak cari menu Melayu.Hehehehe... selesai semuanya, kami berjalan kaki ke masjidilharam melintasi pekarangan bas awam (tujuan laluan bas utk ke tempat miqat) dan sampai di masjidilharam. Ketika ini tersangat ramai jemaah yg masuk ke masjidilharam bagi mendapatkan tempat utk sembahyang terawih. Dalam hati aku terasa gentar dan khuatir, takut2 aku xnampak wajah kaabah sebagai kifarah dosa2ku yg lampau. Langkah demi langkah diteruskan utk mencari ruang dan peluang mendekati kaabah utk memulakan tawaf rukun umrah. 

Akhirnya, suatu yg dihajatkan, tercapai dan tersergam sebuah binaan yg diselimuti kain hitam yakni Baitullah~kaabah di hadapan ku. air mataku sgt murah tanpa diminta tatkala menyaksikannya. Aku berdoa. kami bergerak turun ke lantai di mana paras terletaknya baitullah utk tawaf. Mutawif memberi penerangan cara2 mengerjakannya dan kami berpimpin tgn dgn erat lg kuat utk melakukan tawaf. Dengan berserah kepada pertolongan Allah kami memulakannya. Sekerdil semut di tengah lautan ibaratnya tatkala berada di lingkungan org ramai yg penuh sesak. hati2 dan jagalah wuduk dan auratmu kerana syarat2 sah tawaf adalah seperti kalian hendak mendirikan solah. Lagi pula, ketika bulan Ramadahan ramai yg lebih senang mengerjakan umrah pada sebelah malamnya kerana cuaca lebih dingin dan selesa. Pada sebelah siang hari nya pula digunakan utk berehat.

Selesai betawaf 7 keliling, kami ke tempat saie mengerjakan saie ulang-aling sebanyak 7kali bersamaan lebih kurang 4km. Selesai saie, kami bertahalul iaitu bercukur ataupun memotong sekurangnya 3 helai rambut dan tertib. Begitula turutan rukun umrah. Setelah bertahalul ertinya anda telah lucut dari ihram bersama-sama pantang larangnya.  Masa yg diambil bagi menyempurnakannya lebih kurang 3jam. Berpeluh-peluh, dahaga...sudah cukup membuatkan anda rasa seolah2 anda baru selesai acara olahraga. Itu lah disebut mengerjakan ibadah. Rebut lah peluang ketika muda kerana tenaga anda masih banyak, badan masih sihat sebelum anda rasa menyesal bila tua nanti.

Pada saat ini, hati ku berasa tenang sekali , gembira sangat, lupa segala masalah. Sesungguhnya sewaktu kaki aku mendarat di bumi bertuah ini, fikiran ku kosong. Yg ada cumalah tujuan aku dtg di sini utk beribadah. Aku langsung tak igt soal kerjaku di Malaysia, soal kucing ku yg dah diberi makan ke belum. Status aku sewaktu ini adalah tunangan org. encik tunang aku pun aku lupa jugak cuma hanya igt berdoa seandainya mmg jodoh kami, Allah permudahkan lah dan kalau bukan jodoh kami, aku reda. :)


sambungat part 7

Penyucian jiwa (1 Ramadhan di tanah suci)...part 5 August 10, 2012


Day 3

Sesudah solah subuh, sekitar jam 7.30 pagi, kami menunggu di depan hotel utk tujuan ziarah. Semua jemaah telah siap dan disambut dengan pemandu bas F1 kami. Sepanjang perjalanan kami diisi dengan berzikir dan ada yg tertidur. Kami dinasihatkan utk seboleh2nya jgn bersembang kosong, isi lah dengan perkara manfaat sebaiknya, tambahan pula bulan Ramadhan pahala berlipat ganda.

Tempat ziarah pertama yg kami tuju adalah Bukit Uhud. Di sini juga sejarah perang uhud tercipta. Di sebut perang uhud kerana tempat berlaku perang uhud itu di kawasan yg dikelilingi bukit uhud. Islam kalah dlm perang uhud ini disebabkan ahlinya ada yg mengingkari arahan Rasulallah saw iaitu baginda telah berpesan jgn sesiapa meninggalkan kawasan/tmpt yg anda jaga/berdiri walau apa pun yg terjadi. namun setelah melihat ramai kafir terkorban dan byk harta ditinggalkan, maka golongan umat Islam juga terdiri dari ahli memanah yg ingkar arahan, turun untuk mengambil /merampas alatan perang. Apabila ini berlaku, maka kawalan menjadi longgar dan mereka lupa serta alpa. Pada kesempatan ini, kaum kafir mengambil kesempatan utk membuat serang balas dan ramai umat Islam yg terkorban dan kaum kafir mengisytihar akan kemenangan mereka dlm Perang Uhud. Di sini lah juga tempat disemadikan semula para syuhada yg gugur ketika Perang Uhud. Sekitar tahun 32 sebelum Perang Jepun, telah berlaku fenomena hujan tidak henti-henti selama 7 hari dan menyebabkan jasad2 para syuhada ini timbul dari tempat persemadian asal iatu agak jauh dikaki hujung bukit, maka Kerajaan Arab Saudi mengambil langkah utk menyelamatkan kesemuanya dgn menempatkan semula jasad2 tersebut ke makam yg anda lihat sekarang di mana tmpt ziarah yg pasti akan dikunjung oleh jemaah yg dtg ke tanah suci. Di belakang kawasan makam ini terdapat seperti banjaran bukit. Sejarah juga menceritakan di bukit itu, pengembala2 yg dtg di kawasan ini bersama haiwan ternakan akan memanjat bukit tersebut bagi melihat Madinah dr pandangan tmpt tinggi terutamanya masjid nabawi. Pada ketika itu, belum lg wujud bangunan2 yg tinggi, maka masjid nabawi jelas kelihatan dr situ berbanding sekarang mungkin sudah tidak nampak lg dik pembangunan yg pesat. Berdirinya hotel bertingkat-tingkat tingginya. Kami berdoa di sini buat para syuhada dan doa dipimpin oleh mutawif yakni abah aku sendiri. Berjujuran air matanya mengalir, abah aku menyatakan yg dia xboleh menahan air mata setiap kali berdoa di sini kerana mengingat kembali perjuangan para syuhada. Sekitar bukit uhud ni terdapat ramai yg menjual kurma, tasbih, beg dan sebagainya. Dinasihatkan utk anda pengunjung pandai tawar menawar dan membeli kurma di sini kerana harga juga agak murah berbanding di pasar kurma mahupun ladang kurma. Aku membeli kurma ajwa/nabi berharga SR50/kg.

Ziarah diteruskan lagi ke Masjid Quba. Masjid Quba terletak di tengah tanah lembah, di tengah2 ladang kurma. Kelilingnya dihiasi dgn landskap pokok kurma. Aku berasa teruja kerana ini adlh pertama kali aku melihat pokok tamar yg sarat dgn tandan berisi kurma. MasyaAllah! kalo di Malaysia kurmanya warna coklat kehitaman kerana kurma yg dihantar ke luar negara adalah yg telah dikeringkan. Masjid quba adlh masjid pertama yg Rasulullah bina di bumi Madinah. Barang siapa yg menunaikan solah sunat di masjid ini, pahalanya bersamaan dgn sekali menunaikan umrah. MasyaAllah! besar sungguh pahalanya. Sama2 la merebut peluang yg ada. Rasulullah semasa hayatnya seringkali berkunjung ke masjid Quba iaitu seminggu sekali sehinggalah beliau wafat. Selesai menunaikan solah sunat di sini, kami terus ke ladang kurma yg terletak berdekatan dgn masjid. Cuma 5 minit berjalan kaki. Terdapat pelbagai longgokan kurma kering mengikut jenis dan berlainan harga. Aku cuma membeli kurma yg disalut coklat memandangkan ada sahabat dari Malaysia memesan ole2 tersebut. SR25/kg. Jika bukan bulan Ramdhan, penjaga juga penjual di sini pasti berteriak-teriak 1 halal! 1 halal! 1 halal! 2 haram... ertinya mereka minta kita utk merasa sebiji sahaja apa2 yg terjual di situ terutamanya kurma lah. Belum lagi rezeki kami untuk merasa mkn kurma dr ladang sbb berpuasa. Ada juga kurma fresh dijual di sini. 

Kami meneruskan perjalanan ke tempat ziarah ke-4 iaitu masjid Qiblatain. Sejarah menceritakan bahawa pada zaman dahulu, Org2 Yahudi telah meminta kepada Rasulullah utk solah berkiblatkan Baitul Maqdis. Sekiranya Rasulullah memenuhi hasrat mereka, mereka berjanji utk mengucapkan Syahadah yakni masuk Islam. Maka dengan izin Allah, Rasulullah mengikut kemahuan mereka dgn harapan janji2 yg dituturkan oleh kaum yahudi akan ditunaikan. Setelah beberapa lama Rasulullah menunaikan solah berkiblatkan Baitul Maqdis, beliau mendapati tiada tanda2 kaum yahudi akan masuk Islam. Rasulullah menjadi terlalu rindu utk solah berkiblatkan Baitullahilharam, hanya kepada Allah baginda mengadu dan memohon doa. Sehinggalah pada suatu saat, ketika Rasulullah menunaikan solah asar, Allah menurunkan wahyu supaya menukar arah kiblat daripada menghadap Baitul Maqdis kepada menghadap ke arah Baitullahilharam pada rakaat ke -2, maka Rasulullah meneruskan rakaat ke-3 dan ke-4 nya dengan berpusing mengikut arah kiblat menghadap baitullahilharam seperti diperintahkan Allah. Disebabkan itu lah masjid ini dinamakan masjid qiblatain yakni 2 kiblat. Bagi pengunjung ke sini tidak perlu la solah 2 arah kiblat yg berbeza seperti yg rasulullah buat. Kiblat di masjid qiblatain yg skarang adalah sebenar-benar kiblat yg berpandukan arah Baitullahilharam-kaabah. Setelah menunaikan solah sunat, kami bergambar kenangan dan beredar menuju ke bas utk meneruskan ziarah yg ke-5 iaitu ke masjid 7.

Kenapa digelarkan dgn nama masjid 7? di sini terdapat 7 buah masjid yg dibina di dalam 1 kelompok yg berdekatan di antara setiap 1 nya. Setiap masjid dibina mengikut kaum dan puak masing2. Seperti yg kita sedia maklum, Org arab terdiri daripada byk jenis puak. sewaktu ziarah kami cuma tinggal lg 3 masjid sahaja di situ, yg lain nya telah roboh. Kalo diperhatikan saiz asal yg dikatakan masjid di sini tidak lah sebesar saiz masjid2 yg dibina di Malaysia. Anggaran saiznya mungkin lebih kurang saiz surau Malaysia atau mungkin lebih kecil. Jika dilihat masjid2 lain yg wujud sejak zaman rasulullah , kini semuanya sudah dipebesarkan mengikut kapasiti semasa. di masjid 7 ini, kami cuma lihat dari dlm bas. Kesemua jemaah sudah keletihan termasuk lah aku. Panas tambahan pula berpuasa. Ditanya lg kepada jemaah mahu ke mana? Semuanya mohon balik berehat di hotel... Alhamdulillah selesai utk program ziarah pada hari tersebut dan terus pulang ke hotel di Madinah.

Nak dijadikan rezeki, sahabat abah yg membantu kami menguruskan soal hotel dan kenderaan di Madinah dtg ke hotel kami membawa sekotak tamar tua warna kuning yg menanti masa utk masak. Setelah masak ianya dipanggil rutob. Aku paling suka rutob yg diletakkan di freezer sekejap, sejuk2 sedikit keras, terasa seperti aiskrem strukturnya yg lembut lagi manis. arghh... nikmat utk berbuka puasa nanti.

Sambung part 6...

Penyucian jiwa (1 Ramadhan di tanah suci)...part 4 August 9, 2012


Pintu no.25 adalah laluan utk jemaah wanita menuju ke kawasan Raudhah. Pintu ini dibuka pada waktu-waktu tertentu sahaja tidak bagi jemaah lelaki, mereka bebas utk ke Raudhah bila2 masa yg mereka suka melalui laluan khas juga supaya tidak bercampur jemaah lelaki dan wanita. Cuma perlu pandai mengagak waktu yg dirasakan lengang utk pengunjung Raudhah. Masakan tidak, tempat mustajab berdoa ini menjadi rebutan jutaan jemaah yg datang ziarah. Raudhah ataupun yg disebut sebagai taman syurga, tempat mustajab utk berdoa. Bersebelahannya terletak Makam Nabi Muhammad SAW, Rasul kita yg kita cintai lagi dirindui. Kawasan ini dibahagikan dengan penghadang besar antara jemaah wanita dan juga jemaah lelaki.

Hati aku celaru. Hati aku sebak. Hati aku teruja. Aku umatmu yg banyak dosa, kotor, hina datang ke Madinah utk menjadi tetamumu ya Rasulallah. 

Bersama-samaku jemaah wanita, mengikut setiap arah tuju aku utk mencari kawasan Raudhah. Pada ketika ini, papan tanda tidak ada cuma bertanya-tanya jemaah yg melintasi kami. Kami berhenti seketika di kawasan lapang di dalam masjid utk solah sunat dhuha, taubat dll dan berdoa agar dipermudahkan urusan kami. Mak aku ada memberitahu aku dan jemaah lain utk berdoa dan meminta apa sahaja, insyaAllah mudahan Allah memakbulkannya kerana kami sudah hampir ke kawasan raudhah walaupun belum lagi kelihatan kelibatnya. Ketika ini, aku tak dapat lg menahan air mataku. Ia mengalir laju, deras sederasnya tanpa dipinta dan dikawal. Aku seperti tidak percaya, aku sudah di sini Ya Allah. Aku malu dgn Mu dan kekasihMu Ya Allah, kerana kau mengangkat darjat ku yg hina ini sebagai tetamuMu. Segala doa kiriman sahabat2 dari Malaysia, aku bacakan dan mohon juga di sini. Membaca Quran mengisi masa terluang bagi menunggu jemaah yg lain. Yg lebih berumur, agak perlahan pergerakan... ya aku faham kerna 1 hari nanti aku juga akan seperti mereka kalau dipanjangkan umur.

Selesai semuanya, kami meneruskan lagi langkah demi langkah kaki kami menuju Raudhah. Ya!!! dah dekat!!! apa yg kami hajati terbentang di depan mata kami! Raudhah...Taman Syurga.

Assalamualaikum ya Rasulallah, Assalamualaikum Ya Habiballah... Ya Nabi Allah, aku dtg utk bertemumu kekasih Allah...

Allah, sekali lagi sebak didada kembali, linangan air mata mengalir tanpa diseru. Aku membaca Al-Quran bg mengisi masa terluang menunggu giliran ke kawasan Raudhah. Sejuruh sahaja pengawal/polis wanita yg menjaga kawasan Raudhah menunjuk ke arah kumpulan kami, Aku dan mak menarik tangan jemaah kami yg agak berumur dan kurang berdaya utk sama-sama mendapat ruang utk bersujud , solah sunat di kawasan Raudhah. Kawasan Raudhah adalah kawasan berkapet hijau. Org sgt ramai dan bertolak-tolak utk berebut mendapatkan ruang solah sunat di situ. Aku hanya mampu berteriak Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! sambil di dalam hati memohon supaya Allah permudahkan kami. Hanya 1 difikiranku, jangan lah kerana mengejar Raudhah ini tapi sampai buruk perangai aku seperti menolak jemaah lain dan sebagainya. Saiz rakyat Asia antara yg terkecil berbanding dgn saiz rakyat negara2 lain seperti Turki, Afrika, UAE dll. Aku pasrah dan redha shja dgn apa berlaku. Sungguh, walaupun kurang selesa utk solah sunat, Namun aku berjaya juga akhirnya. Sesudah berdoa, pengawal/polis wanita berteriak khuruj! khuruj!khuruj! (keluar). Kami semua meninggalkan kawasan Raudhah dan ada jemaah yg tercicir sepasang dan sebelah kasut. Tak apa m.cik, nanti kita cari sahaja di luar. Ada rezekinya, insyaAllah dpt la blk, kalo xada, redha je la. Masih ada rezeki m.cik tadi, beliau berjumpa blk dgn sebelah lagi kasutnya. Alhamdulillah.

Ketika ini, aku tidak membawa hp aku yg berkamera. Aku serahkan pada adik aku utk mengambil gambar di kawasan Raudhah. Di bahagian lelaki terdapat mimbar. Setelah pulang ke hotel, adik aku memberitahu aku yg jemaah lelaki agak mudah utk memilih mana2 ruang utk solah sunat dan dia dapat solah sunat di depan mimbar. Alhamdulillah, itu kan rezekinya. Tak perlu cemburu.

Kembali lagi kami ke hotel setelah selesai urusan. Kami berehat di hotel bagi meneruskan ibadah yg lain...

Sambung part 5...

Land Roadtrip to Indochina part 1

Assalamualaikum... Hari ni baru nak update pasal story landroad by kelisa ke Golden Triangle. Actually kitorg dah pun beli tiket flight Ha...